Wednesday, 5 May 2010

Between Power & Responsibility.

I cried when I read this.

I was a schoolmate of the late Aminulrasyid Amzah, the lad who got shot in the head by police two Mondays' ago. And I've had to remain strong, as so many others expected me to be their pillar of support through these trying times.

And here I still stand. The pillar of support for so many.

This article was written by Elviza Michelle, a lawyer, wife, daughter, and mother of one amazing little boy (born on her birthday, no less). So I guess the adoration for her son is what truly influenced her article.

I am truly honoured to call her a friend.

Aunty El, if you're reading this... I hope you can feel my love for you broadcasting its waves all the way from Shah Alam.

____________________________________________

15 tahun. Semasa saya berusia semuda itu, saya bersama enam sahabat rapat yang lain, sedang menjalani kehidupan separa 'penjara' di MRSM Kuala Terengganu. Jika direnung kembali, tiada masalah kompleks yang kami ditanggung ketika itu.

Setiap petang, apabila ribut membawa hujan ke pesisir pantai Batu Rakit, kami bermain 'bola selipar' dengan suara setara bunyi petir di langit. Bila tertangkap, sudahnya tangan kami berbirat dan kebas dirotan warden, tapi seriknya belum tentu.

Meremang bulu roma apabila teringat musibat yang boleh berlaku, semasa saya bersama seorang rakan, cuba mencuri keluar dari kawasan asrama untuk keluar ke bandar Kuala Terengganu. Namun, ketika itu, kami tidak ambil peduli tentang akibat. Darah remaja yang panas sering membuat saya dan rakan-rakan dahagakan kebebasan dari cengkaman belenggu undang-undang sekolah berasrama penuh.

Tetapi nadi alam remaja adik Aminulrasyid Amzah (Aminulrasyid) telah diramas dengan kejam. Rampasan nyawa terhadap Aminulrasyid juga berbau busuk seperti bangkai tua, setidak-tidaknya di hidung saya, seorang ibu dan pemerhati kehidupan.

Sebelum kita mengembara jauh mengupas inti pati pendapat tentang kejadian di malam jahanam untuk Aminulrasyid itu, saya juga teringat kes seorang pelajar kolej komuniti yang terjun dari tingkat 5 untuk bertemu ajal kerana lari dari operasi pegawai pencegah maksiat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Selayang, beberapa minggu yang lalu.

Yang terkhilaf dan tersirat dalam kedua-dua kes tersebut hanya satu: Inilah jadinya apabila kita menerapkan perasaan takut – bukannya kesedaran dan tanggungjawab – dalam diri remaja dan anak-anak muda kita.

Dalam akal setahun jagung itu, fikir mereka, apabila berhadapan dengan penguat kuasa undang-undang, keputusan terbaik adalah untuk lari dan bukannya untuk berdepan dengan masalah. Bencana mungkin boleh dielakkan sekiranya mereka tidak lari.

Perasaan malu, bersalah dan takut yang dipupuk dalam diri mereka, akhirnya membawa padah. Apa yang mereka tidak arif dalam usia semuda itu, harga sebuah nyawa tidak pernah ada tolok bandingnya.

Masalah penerapan moral dan kesedaran itu tanggungjawab koletif kita bersama. Setakat konteks ini, kita semua 'bersalah' di atas kematian adik Aminulrasyid dan remaja berusia 21 tahun tersebut.

Apa yang lebih menggelegakkan marah dalam hati adalah kenyataan-kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Maaf, saya tidak bercakap dari perspektif mana-mana ahli politik. Saya orang biasa, oleh itu saya berasa skeptikal apabila ahli politik bercakap: bunyinya berdegar-degar, tetapi isinya belum tentu penuh.

Namun, apa yang ralat di hati ialah kenyataan yang keluar dari mulut Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang bunyinya lebih kurang begini: "We'll pull cops off the street if that's what you want." Natijah kenyataan itu, sekurang-kurangnya di telinga saya, kedengaran angkuh, taksub dan sinis.

Setahu saya yang masih kurang bijak ini, tugas menjaga keselamatan negara bukan perkara pilihan, bukan perkara yang boleh disorong atau ditarik kembali apabila rasa 'merajuk' atau geram singgah di hati.

Apa yang mereka lupa (atau buat-buat lupa), zaman ini, zaman serba pantas. Pada malam kejadian sahaja, saya sudah menerima kicauan di laman Twitter dari teman sekolah Aminulrasyid, adik Aiman Abdullah, tentang kematian beliau. Kepantasan teknologi maklumat dan kematangan rakyat Malaysia telah menjadikan mereka insan yang peka, yang sentiasa ingin bertanya.

Saya rasa setiap rakyat juga faham bahawa tiada sesiapa yang boleh mengganggu proses siasatan dan undang-undang. Tetapi, di samping itu juga, pihak berkuasa perlu ingat bahawa Artikel 19 The Universal Declaration of Human Rights telah menjamin hak setiap warga dunia untuk menyuarakan pendapat. Kuasa yang diberi kepada PDRM, hatta kuasa yang diberikan kepada sesiapapun, tidak boleh menafikan hak asasi rakyat Malaysia untuk bersuara

Oleh itu, izinkan saya menggunakan hak asasi saya untuk bersuara. Saya hanya ada satu soalan: wajarkah 20 das tembakan dilepaskan untuk memberhentikan sebuah kereta Proton Iswara, ketika nyawa anggota polis yang melepaskan das-das tembakan tersebut, tidak terancam sama sekali? Tidak semua persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat boleh ditermakan sebagai 'spekulasi' yang mengganggu proses siasatan.

Begitu juga dengan perangai atau telatah sesetengah pihak berkuasa agama yang taksub benar dengan watak sebagai 'polis moral'. Bukan hukuman dan perasaan takut yang harus dipupuk dalam hati manusia. Kasih sayang, nasihat dan panduan, walaupun mungkin tidak nampak kesan dalam jangka masa singkat, tetap akan membuahkan hasil dalam jangka masa panjang.

Pihak berkuasa juga perlu sedar, bahawa semua orang yang disyakki telah melakukan sabit kesalahan, berhak menjalani proses undang-undang di mahkamah. Dan anda tidak boleh beraja di mata, bersultan di hati dengan menjadi pihak berkuasa, pendakwa raya dan hakim pada masa yang sama!

Saya lantang mengkritik hari ini, bukan atas dasar kerana saya seorang peguam, tetapi kerana saya seorang ibu. Dan sekiranya anda bukan seorang ibu, anda tidak akan dapat merasai apa yang sedang dirasai oleh ibu Aminulrasyid ketika ini.

Saya juga faham niat untuk mencegah sebelum mengubat perkara-perkara yang dilarang agama dan undang-undang. Tetapi, di mana batas kuasa anda? Kerana, setakat hari ini, garis itu masih samar dan berbalam di mata saya.

____________________________________________

Thank you, Aunty Elviza.

Read the original article, as published by Sinar Harian, at http://bit.ly/bLgLOG


Sent from my BlackBerry® smartphone

No comments: